Bagaimana Mengawal Stress

Kesucian Hati Adalah Penentu
Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera,



Seperti yang dijanjikan, kita bertemu lagi dengan topik Bagaimana Mengawal Stress. Jom tengok.


Islam amat mementingkan persoalan hati kerana hatilah yang menentukan buruk baik sesuatu perkara. Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging apabila ia baik akan baiklah seluruh jasad. Sebaliknya apabila ia buruk akan buruklah seluruh jasad. Daging itu ialah hati.” (Riwayat Bukhari-Muslim) Hati, apabila tidak digilap dengan ramuan yang betul, akan diserang dengan pelbagai jenis penyakit.

Hati yang paling rendah martabatnya ialah yang dipenuhi dengan nafsu al-ammarah. Allah berfirman: “Dan aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu al-ammarah selalu menyuruh kepada kejahatan...” Surah Yusuf ayat 53)

Hati yang dipenuhi nafsu al-ammarah mempunyai kecenderungan untuk memuaskan syahwat, mudah marah, tamak haloba, sombong, bongkak, suka dipuji, takutkan kesusahan dan mudah kecewa sehingga akhirnya seseorang menyalahkan Tuhannya kerana membebankannya dengan masalah yang dihadapi. Hati yang seperti ini menyebabkan tuannya mengalami tekanan secara berterusan dan akhirnya membawanya kepada kecelakaan dan kebinasaan.

Apabila hati digilap dengan amalan yang sesuai, ia meningkat ke tahap yang lebih stabil iaitu nafsu al-lawwamah. Allah berfirman: “Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa al-lawwamah (yang amat menyesali dirinya sendiri).” (Surah Al-Qiyamah ayat 1-2) Hati yang dipenuhi nafsu al-lawwamah menasihati tuannya tentang kefanaan dunia. Ia menyedarkan tuannya tentang keutamaan yang perlu dicari ketika tuannya terbabas dan terpesona dengan kesenangan yang memperdayakan. Apabila hati terus digilap, ia meningkat kepada makam nafsu al-mutmainnah ataupun hati yang tenang damai. Allah berfirman: “Wahai hati yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Surah Al-Fajr ayat 27-30)

Mereka yang memiliki hati yang mutmainnah amat yakin dengan janji-janji Allah. Justeru, mereka sentiasa tenang menghadapi ujian dan tekanan di dunia kerana mereka merindukan kesenangan di akhirat

Zikir Dan Ibadah Yang Khusyuk
Ibadah yang khusyuk mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah zikrullah. Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Surah Ar-Ra’d ayat 28)

Solat yang khusyuk juga boleh mendamaikan jiwa, justeru Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Wahai mereka yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu..”(Surah Al-Baqarah ayat 153) Mengikut riwayat, Nabi Muhammad ketika berdepan dengan masalah akan memperbanyakkan solat Baginda kerana solat bagi Baginda adalah amalan penyejuk hati. Baginda bersabda: “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.” (Riwayat An-Nasai)

Dr. Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, membuat satu kajian berhubung kesan mendengar Al-Quran ke atas fisiologi manusia, sebagai contoh denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar Al-Quran, termasuk daripada kalangan yang bukan Muslim dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi yang positif di dalam diri mereka.

Bersyukur Dan Menjauhi Ketamakan
Reda dan bersyukur dengan pemberian Allah mampu menghilangkan tekanan di hati. Sebaliknya mereka yang tamak tidak akan berpuas dengan apa yang ada sehingga mereka menjadi tertekan mengejar kesenangan yang memperdayakan. Mengikut pandangan Islam, kekayaan yang sebenarnya tidak terletak pada harta benda sebaliknya kepada jiwa yang damai. Nabi Muhammad bersabda: “Tidaklah kekayaan itu lantaran banyak harta sebaliknya kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa.” (Riwayat Bukhari-Muslim)

Keinginan untuk merampas hak orang lain sering kali melahirkan perasaan hasad dengki dan hal ini amat dibenci oleh Allah. Zuhud adalah penawar kepada tamak dan haloba. Nabi Muhammad bersabda: “Zuhud daripada dunia akan menyebabkan kamu dikasihi Allah dan zuhud daripada apa yang dimiliki manusia (iaitu tidak berkeinginan untuk merampas hak orang lain) akan menyebabkan kamu disukai oleh manusia.” (Riwayat Ibn Majah - Hadis Hasan)

Pemikiran Positif Dan Tidak Mudah Berputus Asa
Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Justeru, perkara yang paling penting yang perlu kita lakukan ialah memperbaiki diri dari masa ke semasa tanpa mengenal putus asa sehingga akhirnya kita menjadi insan yang lebih baik. Apabila kita pernah melakukan dosa dan noda, bertaubatlah kerana Allah Maha Penerima Taubat. Yang paling penting ialah, jangan berputus asa. Allah berfirman: “Ibrahim berkata, ‘Tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat sahaja’.” (Surah Al-Hijr ayat 56)


Justeru, janganlah mudah berputus asa. Sekali kita gagal tidak bermakna kita gagal selama-lamanya. Jadikan kegagalan hari ini sebagai rangsangan untuk kejayaan hari esok. Pemikiran positif seperti ini adalah penting untuk mencapai kejayaan justeru Allah mengingatkan umat Islam tentang kepentingannya berpandukan firmanNya: “Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah berdukacita kerana kamu adalah golongan yang tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali-Imran ayat 139)

Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’. Mereka dikenali juga sebagai workaholic kerana keasyikan bekerja siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah. Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri.

Berlebih-lebihan di dalam sesuatu perkara akan membawa kepada kebinasaan. Di antara nasihat yang amat baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi ra kepada Abu Dardak ra. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi Muhammad, iaitu: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dirimu mempunyai hak ke atasmu dan keluargamu mempunyai hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Riwayat Bukhari)

Puasa Ialah Penawar
Umat Islam diwajibkan melaksanakan ibadah puasa selama lebih kurang 12 jam setiap hari di bulan Ramadan, melainkan oleh sebab-sebab yang diizinkan oleh syariat. Allah berfirman: “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atas mu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelum mu semoga kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 183)

Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman telah melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa pada tahun 1984. Di samping itu, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya juga membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan di Universiti Sains Perubatan di Tehran. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan umat Islam secara amnya. Malah ia memberi kesan yang baik pada metabolisme lemak dan pengawalan berat badan seseorang. Puasa juga meredakan tekanan pada jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, membanyakkan solat, menjaga lidah dan banyak bersedekah. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Membantu Orang Lain Mendamaikan Jiwa
Islam mengatakan, tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah. Justeru, umat Islam digalakkan memberi dan menolong dan sebagai balasannya mereka dibantu dan ditolong oleh Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa yang meringankan satu kesusahan dunia yang dihadapi oleh seseorang mukmin, Allah akan meringankan baginya satu kesusahan di hari Kiamat. Sesiapa yang membantu kesusahan yang dialami seseorang, Allah akan membantu kesusahannya di dunia dan di akhirat..” (Riwayat Muslim)

Menurut satu kajian kebangsaan yang dilakukan ke atas 3,300 pekerja sosial di Amerika, mereka yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan sering mengecap perasaan damai dan tenang selepas membantu orang lain (helper’s high). 90% daripada mereka berasa lebih sihat dan tekanan hidup mereka juga semakin berkurangan. Sebahagian yang lain pula mengalami kelegaan daripada sakit-sakit tulang, lelah dan gastrik.

Pasangan Hidup Dan Rakan-Rakan Yang Baik
Pasangan hidup kita adalah sumber kekuatan dan ketenangan bagi diri kita. Allah berfirman: “Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagi mujodoh dari jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikan di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum ayat 21)

Rakan juga penting dalam hidup kita. Nabi Muhammad bersabda: “Rakan yang baik adalah seperti penjual minyak kasturi. Dia mungkin memberikan sedikit minyak itu kepadamu ataupun kamu boleh terus membeli minyak itu darinya. Paling kurang, kamu dapat mencium bau minyak yang wangi...” (Riwayat Bukhari-Muslim)

Hiburan Yang Tidak Melampau Adalah Penawar
Hiburan yang tidak melampau mengikut batas-batas yang diizinkan syariat boleh membantu meredakan tekanan di samping mendatangkan pahala. Aisyah ra pernah menghantar pengantin perempuan ke rumah sahabat Ansar. Nabi Muhammad bertanya kepada beliau: “Ya Aisyah, tidakkah disediakan hiburan pada majlis itu? Orang-orang Ansar sukakan hiburan.” (Riwayat Bukhari)

Dr. Yusuf Qardawi di dalam Halal dan Haram berkata: “Di antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati ialah nyanyian. Ia diizinkan oleh Islam selama mana ia tidak dicampuri dengan perkara yang haram dan perkataan yang sia-sia yang boleh membawa kepada haram.”

Senaman Dan Rekreasi Meredakan Tekanan
Islam menggalakkan umatnya aktif beriadah dan membenci mereka yang malas dan tidak aktif. Nabi Muhammad bersabda: “Semua perkara melalaikan seseorang daripada zikrullah melainkan empat perkara, iaitu pergi memanah, melatih kuda untuk berperang, bergurau senda di antara suami isteri dan belajar berenang.” (Riwayat Thabrani)

Senaman menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang. Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphins yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress. Bagi mereka yang mengalami masalah susah tidur atau insomnia, kajian menunjukkan bersenam di siang hari dapat mengurangkan masalah itu.

Jenaka, Senyum Dan Ketawa Meredakan Tekanan
Senyuman membantu meredakan tekanan di hati kita dan orang lain. Abdullah ibn Harith ra meriwayatkan: “Tidak ada manusia yang lebih banyak tersenyum melainkan Rasulullah.” (Riwayat Tarmuzi)

Dr. Lee Berk dan Dr. Stanley Tam dari Universiti Loma Linda di California dan juga pengkaji-pengkaji dari Universiti Stanford, Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Ohio State dan Universiti Duke mendapati jenaka dan tertawa mampu meredakan kemarahan dan kerisauan. Ia juga mampu mengurangkan kesugulan atau depression, justeru, bagi mereka yang sedang mengambil rawatan untuk kesugulan atau depression, dos rawatannya boleh dikurangkan. Jenaka dan tertawa meningkatkan kadar sel-sel T di dalam badan. Sel-sel T berfungsi meningkatkan daya ketahanan sekali gus mengawal pembiakan kuman di dalam badan.

Menjauhi Rokok Dan Arak
Perokok-perokok sering mengatakan rokok meredakan tekanan ke atas diri mereka. Sebaliknya kajian-kajian menunjukkan, nikotin yang terdapat di dalam rokok mengganggu otak dan saraf sehingga akhirnya perokok mengalami tekanan yang dikenali sebagai smokers stress ke tahap yang tinggi berbanding mereka yang tidak merokok. Perkara ini disebutkan oleh pakar-pakar dari Psychological ARTS yang beribu pejabat di Austin.

Institut Penyalahgunaan dan Ketagihan Alkohol Kebangsaan di Amerika mendapati alkohol juga meningkatkan tekanan. Hal ini disebabkan alkohol merangsang pengeluaran hormon-hormon seperti corticosterone dan adrenaline dari kelenjar-kelenjar pituitary, adrenal dan hypothalamus. Hormon-hormon ini meningkatkan tekanan di dalam diri manusia.240 Justeru, Nabi Muhammad bersabda: “Jauhilah sesuatu yang memudaratkan..” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Berdoa Dengan Khusyuk Adalah Penawar
Berdoa adalah ibu ibadah. Imam An-Nawawi menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa: “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.”

Doa yang diterima oleh Allah ialah doa yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad: “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaan mu. Ingatlah, Allah tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.” (Riwayat Tarmizi).



Sekian buat kali ini. Moga bermanfaat kepada kita semua.

0 comments:

Post a Comment