Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera,
Bertemu lagi dalam ruangan fotografi. Kepada pengguna DSLR, penggunaan lensa tetap (Prime lense) mungkin sudah tidak asing lagi terutamanya lensa 50mm. Tapi tahukah anda bahawa ramai tidak sedar sebenarnya lensa tetap atau utama 50mm sering digunakan pada zaman kamera menggunakan filem lagi. Dengan lensa itu, apa yang kita nampak, itulah yang dirakamkan. Ia bermakna rakaman menggunakan lensa 50mm adalah rakaman asal mengikut pandangan mata dan ada juga yang mengatakan lensa tetap 35mm.
Jurufoto veteran tidak ramai yang menggunakan lensa sudut lebar atau lensa jarak jauh (tele) kerana agak mahal pada waktu itu. Jadi 50mm satu-satunya lensa yang dimiliki.
Kini dalam era fotografi digital yang menjadikan sensor kamera format DX dipangkas (crop) berbanding format asal 35mm, lensa 50mm mula diminati semula.
Ini kerana penggunaan lensa 50mm pada kamera format DX akan membuatkan ia menjadi lensa tele ekoran pembesaran sebanyak 1.5 kali. Jadi setiap rakaman yang dilakukan akan memberi sedikit pembesaran dan tidak lagi apa yang kita nampak, itulah yang akan dirakamkan. Kini 50mm banyak digunakan untuk merakamkan potret namun ia sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai rakaman subjek. Apa yang perlu, jurufoto mempelbagaikan sudut rakaman.
Lensa tetap tidak sama dengan lensa zoom yang boleh bergerak dari sudut lebar ke tele dengan hanya memusing lensa. Penggunaan lensa 50mm memerlukan jurufoto bergerak ke hadapan atau belakang bagi mendapatkan rakaman menarik. Jika jurufoto rapat dengan subjek misalnya seorang model, ia akan menghasilkan 'Bokeh' - perkataan Jepun bermaksud keadaan kualiti estetik kabur. Jadi, lebih tinggi bukaan (aperture) akan lebih jelas keadaan bokehnya.
Kini, lensa 50mm didatangkan dengan bukaan paling tinggi f/1.4 yang membolehkan rakaman dilakukan di dalam cahaya suram.
Saya sertakan gambar-gambar yang diambil menggunakan lensa tetap 50mm, f/1.8.
Jadi, pelbagaikan sudut penggunaan lensa 50mm dan bukan hanya untuk potret sahaja.
Ok. Sekian buat kali ini.
0 comments:
Post a Comment