Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.
Kembali bertemu dan kali ini kita berbicara mengenai Seni Kaligrafi Khat.
SENI KALIGRAFI
Seni kaligrafi Islam seringkali dikaitkan dengan seni khat. Kaligrafi
secara umumnya mempunyai maksud seni penulisan yang indah. Apabila ianya
dikaitkan dengan Islam, membawa kepada seni penulisan Islam yang indah iaitu
tulisan khat. Perkataan kaligrafi ini berasal dari bahasa Yunani iaitu kalios
yang bererti indah dan graphia yang bererti tulisan. Seni ini diciptakan dan
dikembangkan oleh kaum muslim sejak kedatangan Islam. Sebagai bahasa yang
memiliki karakter lembut dan artistik, huruf Arab menjadi bahan yang sangat
kaya untuk penulisan kaligrafi. Kaligrafi Islam ini juga sangat berkaitan
dengan Al-Quran dan hadis kerana sebahagian besar tulisan indah dalam bahasa
Arab menampilkan ayat al-Quran atau hadis Nabi S.A.W.
SENI KHAT
Seni khat ini merupakan salah satu bidang kesenian yang amat diminati
oleh orang Islam. Keindahannya diabadikan di bangunan-bangunan, kubah masjid,
seramik kaca selain diukir diatas kayu dan logam. Dari semasa ke semasa sejak
zaman Rasulullah S.A.W. hingga hari ini, seni khat terus berkembang dan
meningkat pencapaian dan kecemerlangannya. Seni khat ini juga telah
menghasilkan pelbagai seni reka bentuk khat. Selepas 100 tahun kewafatan
Rasulullah S.A.W. seni ini telah berada dipuncak kegemilangannya.
Seni khat bukan sahaja berperanan mengabadikan Al-Quran dalam bentuk
tulisan akan tetapi juga turut mengabadikan sebahagian ayat dari Al-Quran
tersebut di bangunan-bangunan masjid, rumah dan sebagainya. Ahli khat bukan
sahaja terdi dari kalangan orang Arab bahkan pelbagai keturunan Islam yang lain
diseleruh dunia termasuk Parsi, Turki, India, Melayu dan lain-lain lagi.
Perkembangan seni khat diseluruh dunia pesat sekali, seiring dengan
perkembangan dakwah Islamiyyah dan ilmu Islam.
Khat boleh dibahagikan kepada beberapa jenis antara yang
mendapat perhatian ramai adalah khat riq'ah, thuluth, khufi, diwani dan nasakh.
Setiap daripada jenis khat mempunyai cara tulisan berbeza yang pastinya unik
dan memukau pandangan si peminat. Berikut adalah contoh-contoh khat mengikut jenis.
KHAT NASAKH

Dinamakan Nasakh kerana tulisannya digunakan untuk menaskhahkan atau
membukukan al-Quran serta pelbagai naskhah ilmiah yang lain. Bentuk ini
merupakan hasil daripada pengubahsuaian yang dilakukan oleh Ibnu Muqlah.
Tulisan Nasakh munculpada akhir abad ke 3H/8M dan berkembang meluas pada
penghujung abad 4H/9M. Ciri-cirinya ialah mempunyai kelembutan, mudah dibentuk,
praktikal dan mudah dibaca. Ia sesuai digunakan dalam penulisan al-Quran,
akhbar dan majalah
KHAT RIQ'AH
Khat ini dicipta oleh penulis khat Turki Mumtaz Bek pada zaman
pemerintahan Sultan Abdul Hamid Khan pada tahun 1280H. Tujuan khat ini dicipta
ialah untuk menyeragamkan bentuk tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan
kakitangan kerajaan.
Ciri-ciri khusus khat ini ialah bentuk huruf yang kecil, tegak dan tidak
menggunakan baris, lebih cepat dan mudah ditulis jika dibandingkan dengan khat
yang lain. Kini Khat Riq'ah adalah pilihan untuk tulisan tangan oleh masyarakat
Arab.
KHAT THULUTH
Dinamakan Khat Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen
(qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) lebar mata pen. Ia juga
dikenali sebagai Ummul Khat (ibu tulisan) kerana kehandalan seseorang penulis
khat tidak akan diakui kecuali setelah dia mahir dalam khat ini. Ia lebih
bersifat dekoratif dan mempunyai ciri-ciri kesenian tersendiri. Sesuai
digunakan untuk perhiasan dalam masjid, bangunan, papan tanda dan sebagainya.
KHAT DIWANI
Khat ini dicipta oleh Muhammad Munif, disempurnakan bentuknya oleh
Syahla Pasya dan al-Hafidz Othman. Khat ini mula terkenal setelah
Konstantinopel (Istanbul) ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun
857H. Tulisan ini berbentuk condng ke kiri, lembut, bundar dan melengkung,
bersusun,bertindih-tindih dan tidak berbaris. Tujuan tulisan ini dicipta ialah
untuk menulis surat rasmi, keputusan dan pekeliling pentadbiran kerajaan. Kini
ia banyak digunakan untuk menulis sijil, watikah dan tulisan hias.
KHAT DIWANI JALI
Khat ini dicipta pada zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah oleh khattat bernama Syahla Pasya pada
abad ke-10H. Ia berbeza dengan Khat Diwani kerana terdapat baris-baris dan
titik hiasan serta mempunyai bentuk huruf yang lebih besar dan jelas. Dinamakan
Jali bererti jelas kerana terdapat kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya.
Digunakan untuk tulisan rasmi diraja dan surat menyurat kepada kerajaan asing.
Bentuknya memenuhi kesemua ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan yang
tersusun indah.
KHAT KHUFI MUSHAFI
Khat ini merupakan tulisan diperingkat awal dan juga merupakan asas
kepada tulisan Arab. Perkataan kufi diambil bersempena sebuah bandar iaitu
kufah di Mesopotamia. Bentuk huruf secara umumnya lurus dan tegak. Dengan
peredaran masa, khat ini telah berkembang dan menjalani perubahan dari bentuk
asalnya kepada bentuk-bentuk lain.
KHAT KHUFI FATIMI
Dinamakan Fatimi kerana Kufi ini terkenal pada zaman pemerintahan Fatimi
di Mesir. Kufi ini juga mempunyai pelbagai bentuk antaranya ialah Kufi Muwarraq
(berdaun), Kufi Muzzahar (berbunga) dan Kufi Mudhaffar (bersimpul). Kufi Fatimi
adalah antara jenis Kufi yang masih digunakan hingga ke hari ini. Ia tidak
dibaris dan boleh dihias di ruang kosong antara huruf dengan ragam hias yang
bercirian pokok dan batang pokok kacang sebagai latar belakang ayat.
KHAT KHUFI MURABA'
Dinamakan juga Kufi Empat Segi. Bentuk hurufnya terdiri daripada susunan
bentuk segi empat. Kaedah susunannya adalah susunan yang bersifat memenuhi
ruang. Khat ini disusun daripada garis-garis lurus yang bertembung dengan
garis-garis menegak. Daripada susunan ini, bentuk lurus yang tidak ada unsur
bulat dan melengkung terjelma, justeru ia digaris dengan pembaris dan pensel.
Ia tidak berbaris dan banyak digunakan sebagai hiasan dalam bentuk geometrik
pada bangunan dan logo.
KHAT FARISI
Dinamakan Farisi kerana dinisbahkan kepada bangsa Iran. Dicipta oleh Mir
Ali al-Tibrisi, kemudian diperelok oleh Imaduddin al-Syirazi. Khat ini juga
dikenali sebagai Khat Taliq/Nastaliq, terkenal dan digunakan secara meluas di
Iran. Keindahan khat ini terletak pada bentuk lengkungannya yang menarik,
kurang garisan menegak dan bentuk hurufnya yang condong kekanan dan tidak
berbaris. Banyak digunakan untuk menulis syair, dan kegunaan harian.
Begitulah serba sedikit gambaran jenis-jenis kaligrafi khat yang menunjukkan kesenian yang tinggi. Contoh tulisan atau khat yang dipaparkan adalah diambil daripada kalendar terbitan Lembaga Zakat Selangor dengan perkataan 'zakat'.
Sekian buat kali ini.